Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Ihsan Radio Televisyen Brunei
CEBU CITY, REPUBLIK FILIPINA, Jumaat, 8 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam ini berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam Gala bagi meraikan kehadiran Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN serta tetamu khas yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang dihoskan oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos. Jr., selaku Pengerusi ASEAN dan isteri, First Lady Louise Araneta-Marcos.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Sejurus keberangkatan tiba di Mactan Expo, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Presiden Republik Filipina dan isteri.
Majlis tersebut dihiburkan dengan beberapa persembahan kebudayaan.